Tuesday, September 21, 2010

Emak

perempuan itu boleh saja
untuk pegang mikrofon dan berkaraoke
tapi dia pilih untuk memegang sudip dan kuali
menghadap panas api dapur, menahan pedih bawang dan percik minyak
untuk perut anak dan suami

perempuan itu boleh saja
untuk mengadap tv menonton drama
bergelak ketawa melayan lawak cereka
tapi dia pilih untuk mengadap buku anak anaknya
membantu apa yang terdaya
walau dia sendiri
tak pernah habis pelajarannya

perempuan itu boleh saja
memukul orang yang mencaci anaknya
tapi dia pilih untuk memukul merotan anaknya yang tak salah
kerana tak mahu anaknya pula yang mencaci orang

perempuan itu boleh saja
untuk makan cencaru hasil penat lelah dirinya
tapi dia pilih menghisap kepala cencaru itu saja
biar anaknya kenyang perut lena tidur senang belajar

perempuan itu boleh saja
menangis di depan anak anaknya meratap lara hidupnya
tapi dia pilih untuk menangis di sejadah saja bersama tuhan
biar anak- anak melihat dia kuat sentiasa supaya mereka juga terus kuat

perempuan itu boleh saja
memberi kita ini semasa kecil ke siapa – siapa
tapi dia pilih untuk mendukung membelai menjaga kita
menyusukan dan bersusah susah semata untuk kita

perempuan itu boleh saja
bangun tidur lewat sesuka hatinya
tapi dia pilih untuk jaga sebelum ayam mula kokokannya
dan sebelum lelaki berkopiah melaung azan
dia menyusun surat khabar menanak nasi menggoreng kuih
mengumpul bersen sen untuk anak – anaknya

perempuan itu boleh saja
melayan indah mimpi mimpi tidurnya
tapi dia pilih untuk bersengkang mata menghalau nyamuk di badan anaknya
menguap ke dapur membuka tin untuk susu sebotol
mendodoikan kita dengan lagu – lagu ciptaannya
supaya kita tidur lena
dan dia puas melihatnya

perempuan itu boleh saja
berkahwin lagi dan bahagia berdua
tapi dia pilih untuk terus sendiri membesarkan anak anaknya
bahagia dia diketepi
bahagia anak itu yang dihati

perempuan itu boleh saja
mendoakan kita dibalas sama jahat kita
sama celupar mulut kita
tapi dia pilih untuk mendoakan anaknya dibawa ke jalan tuhan
diampunkan dosa
dibersihkan jiwa
walau dia sudah dilupa dan didurhaka

kita ini selalu saja
meninggi suara ke perempuan itu
melupakan dia dalam hal hal kita
membuat dia yang terakhir dalam keutaman kita
menjatuhkan maruahnya bila kita ini serupa kawan syaitan
mengangkat isteri kita lebih darinya
menghantar dia ke rumah yang banyak orang sepertinya
melebihkan kawan kawan kita sebelumnya
memukulnya yang tidak berdaya
malu kita rasa bila mahu dia memeluk dan mencium kita di depan orang
sedikit tegurnya sepetir marah kita
kita tak mahu menjaganya bila hilang warasnya
hilang upayanya

padahal
dia adalah rumah pertama kita
sebelum berpijak di lantai dunia
dia yang mengusung kita pada mulanya
sehingga mati juga kita ini diusung berserta nama dia

bukankah
dia itu
perempuan yang mengajar kita bertatih
perempuan yang menyuap nasi ke mulut kita
perempuan yang menukar lampin kita
perempuan yang sanggup sakit demi nyawa kita
perempuan yang ada antara kita tak pernah lihat
kerana dia pergi dan membiarkan kita ini ada

perempuan itu
alangkah mulia.

No comments:

Post a Comment